Tuesday, June 10, 2008
Nasib Kanak-Kanak Masa Kini
KEMAMAN – Seorang bayi perempuan yang baru dilahirkan kira-kira seminggu lalu ditemui dalam keadaan tidak bernyawa dan amat menyedihkan, berhampiran sebuah bangunan perniagaan di Taman Geliga Indah, Chukai, di sini, tengah hari semalam.
Ketika ditemui, mayat bayi berkenaan yang ditinggalkan di atas kaki lima bangunan perniagaan tersebut dengan berbalut sehelai kain pelikat kelihatan masih bertali pusat, tetapi sudah berbau.
Sinar Harian difahamkan mayat bayi itu ditemui oleh salah seorang pekerja yang sedang menjalankan kerja mencuci di sekitar premis perniagaan tersebut.
Seorang penduduk di kawasan berhampiran yang tidak mahu dikenali memberitahu, pada malam sebelum kejadian kira-kira jam 12 malam, dia ada melalui di kawasan tersebut, tetapi tidak melihat sebarang tanda mencurigakan.
“Namun, pada hari ini (semalam), saya agak terkejut apabila diberitahu mengenai penemuan mayat bayi ini. Mungkin mayat ini telah dibuang pada awal pagi kelmarin,” ujarnya.
Menurut Ketua Polis Daerah Kemaman, Pemangku Superitendan Abdullah Sani Salat, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam mengenai kejadian tersebut pada jam 12.30 tengah hari semalam.
Katanya, sebaik menerima laporan tersebut sepasukan anggota polis daripada Ibu Pejabat Polis Chukai terus bergegas ke tempat kejadian.
“Ketika tiba di tempat kejadian, polis mendapati mayat seorang bayi perempuan ditemui dalam keadaan berbalut dengan sehelai kain pelikat dan sudah berbau.
“Mayat berkenaan akhirnya di hantar ke bilik mayat Hospital Kemaman untuk tujuan bedah siasat,” ujarnya kepada Sinar Harian.
Menurut beliau, sehingga kini pihaknya masih belum mengenal pasti punca kematian bayi tersebut kerana sedang menunggu laporan bedah siasat dan kes terbabit akan disiasat di bawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan atas kesalahan membuang bayi.
“Kita mengharapkan kerjasama orang ramai untuk tampil membantu pihak polis dan bagi sesiapa yang terlihat individu dalam keadaan mencurigakan pada malam sebelum kejadian sila hubungi balai polis berhampiran.
“Selain itu, mana-mana klinik dan hospital di daerah ini yang ada menerima kes kelahiran bayi dalam keadaan mencurigakan sebelum ini sila tampil membantu pihak polis bagi memudahkan siasatan dijalankan,” ujarnya.
* Penyayang simpati terhadap anak-anak generasi akan datang yang dizalimi oleh manusia bertopeng haiwan
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment