Tuesday, July 28, 2009

Meraikan Anak Yatim

Salam Penyayang,

Dalam pada kesibukan kita merancang pelbagai program untuk anak yatim, golongan berkeperluan khas, orang tua dan pelbagai golongan masyarakat yang lain, mohon dipastikan beberapa perkara berkaitan tidak diambil ringan dan semoga kita tidak terlepas pandang. Saya telah membuka laman web http://groups. yahoo.com/ group/nurhikmah/ dan mendapati perkara-perkara berikut mungkin boleh dijadikan panduan untuk program Sambutan Hari Raya dan Deepavali kita yang akan berlangsung pada 4 Oktober 2009 nanti. Dengan izinNya...Jom sEmAk...

1. Jangan memilih
Dirumah-rumah jagaan anak-anak yatim bukanlah semuanya dihuni oleh anak-anak yatim atau piatu sahaja. Terdapat juga anak-anak yang miskin dan anak-anak terbiar. Oleh yang demikian janganlah kita sebagai penganjur meletakkan syarat untuk menjemput anak-anak yatim atau piatu sahaja. Jemputlah semua anak-anak yang ada disitu.. Jangan dipinggirkan anak-anak yang lain. Jangan lupa juga untuk menjemput 3 atau 4 orang pengiring yang terdiri dari pengurus atau pekerja dari rumah tersebut.

2. Sediakan kenderaan atau tambang
Rumah-rumah anak yatim tidaklah mempunyai peruntukan yang besar bagi membiayai tambang atau sewa bas. Jika anda ingin menjemput mereka sediakan kenderaan yang sesuai. Atau jika mereka perlu uruskan sendiri pengangkutan, berikan sedikit peruntukan untuk sewa pengangkutan pergi dan balik. Jika syarikat atau jabatan anda memiliki bas sendiri adalah lebih baik.

3. Tempatkan mereka bersama tetamu anda yang lain
Jangan diasingkan anak-anak tersebut diruang yang khas yang berasingan dari tetamu lain. Tempatkan mereka bersama-sama tetamu lain. Mereka ingin sekali berinteraksi dan bermanja dengan orang lain. Adalah lebih afdhal jika mereka diselangselikan dengan tetamu disetiap meja.

4.. Anak-anak yatim bukanlah bahan pameran
Seringkali berlaku anak-anak yatim ini akan dapat bertemu dengan tetamu khas seperti VIP atau artis ketika sesi bergambar atau sidang akhbar. Sebelum itu mereka ditempatkan dimeja barisan belakang. Mereka cuma dipanggil kedepan apabila tiba sesi bergambar atau ketika menjadi latarbelakang sesi fotografi artis.

5. Selera kita mungkin sama dengan selera mereka
Adalah tidak manis jika tetamu dihidangkan dengan makanan yang berbeza dengan anak-anak yatim.. Mereka juga ingin menikmati juadah yang istimewa seperti orang lain. Oleh yang demikian jangan diasingkan hidangan mereka dengan hidangan tetamu-tetamu lain.

6. Jika memberi hadiah, berilah kepada semua
Jika anda akan memberi sumbangan atau cenderamata berikan kepada semua mereka. Tentukan jumlah mereka yang akan hadir dan sediakan sumbangan atau cenderamata yang secukupnya. Selain dari wang mereka juga memerlukan pakaian dan alat-alat tulis.

7. Beri peluang mereka tunjukkan bakat
Kebanyakan rumah anak-anak yatim mempunyai pasukan kompang atau nasyid mereka sendiri. Selain dari persembahan artis jemputan, mereka peluang anak-anak ini menunjukkan bakat mereka. Mereka merasa dihargai jika diberi peluang memberikan persembahan mereka. Tapi jangan lupa memberi notis awal semasa mengundang mereka. Mereka juga mempunyai aturacara yang ketat sepanjang bulan ramadhan.

8. Jangan tahan mereka hingga larut malam
Anak-anak perlu menjalani tanggungjawab mereka sebagai pelajar. Mereka perlu hadir kesekolah pada awal pagi. Oleh yang demikian jangan menahan mereka didalam majlis anda sehingga larut malam. Lepaskan mereka pulang lebih awal supaya mereka dapat bangun sahur dengan segar dan seterusnya dapat bersekolah esok paginya. Awalkan acara penyampaian sumbangan dan cenderamata.



~~Farhah~~

1 comment:

Abe Kumar said...

Salam sejahtera.

Saya setuju dengan saranan
presiden yg terkehadapan itu.
Semoga terus sukses dlm menerajui
kelab yg tersayang ini.
Pihak mantan sedia membantu
sekiranya diperlukan.

Sekian..