Monday, August 11, 2008

Graduan OKU antara lima lulus cemerlang



USAHA GIGIH: Raja Dr Nazrin Shah menyampaikan Ijazah Sarjana Ekonomi kepada penghidap polio, Ng Sheau Lan pada konvokesyen di Universiti Malaya, semalam.

KUALA LUMPUR: Pengalaman dimalukan dengan kata-kata penghinaan ketika meminta bantuan orang ramai membakar semangat Ng Sheau Lan membuktikan kemampuannya meraih kejayaan ketika belajar di Universiti Malaya, walaupun lumpuh dari paras pinggang akibat penyakit polio ketika berumur 11 bulan. "Sejak menghidap penyakit polio akibat demam, saya hanya mampu bergerak secara merangkak atau didukung. Ketika berumur lima tahun, saya berubat di China.

Hasilnya, kaki kanan saya pulih sedikit tetapi kaki kiri masih lemah. "Ada kala saya terpaksa meminta bantuan kerana sukar bergerak di tempat tertentu, terutama tangga. Namun, saya pernah dilemparkan kata-kata hina. "Memang hati amat terluka tetapi saya sedar mereka tidak memahami perasaan orang kurang upaya (OKU) seperti saya. Oleh itu, saya sentiasa berusaha membina keyakinan diri dengan membaca banyak buku motivasi dan mencari kekuatan melalui doa," katanya kepada Berita Harian semalam. Kecekalan Ng, 41, ternyata berbaloi apabila muncul antara 645 graduan yang menerima penganugerahan ijazah sarjana pada Istiadat Konvokesyen Universiti Malaya (UM) 2008 (Bahagian Kedua) yang disempurnakan Raja Muda Perak, Raja Dr Nazrin Shah yang juga Pro Canselor, semalam. Malah, anak sulung tiga beradik itu antara lima graduan yang memperoleh kelulusan cemerlang dalam pengajian Ijazah Sarjana Ekonomi dengan mencatat purata nilai gred kumulatif (PNGK) 3.74. Anak jati Kuala Lumpur itu turut meraih Anugerah Pelajar Terbaik program Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer (Pengajian Jarak Jauh) dari Universiti Putra Malaysia (UPM) pada 2004. "Saya sentiasa dahagakan ilmu pengetahuan kerana sedar kekurangan diri dari segi fizikal. Satu-satu kelebihan yang saya boleh bangunkan adalah dari segi pencapaian akademik," katanya yang kini bertugas sebagai Penolong Pengurus syarikat membangunkan perisian komputer. Pada konvokesyen itu, Raja Dr Nazrin turut menyempurnakan penganugerahan Profesor Emeritus kepada dekan pertama Fakulti Alam Bina UM, Prof Ezrin Arbi dan Prof Datuk Dr Lian Chin Boon dari Fakulti Pergigian universiti berkenaan.

Sebanyak 6,950 graduan dianugerahkan ijazah serta diploma kali ini meliputi 115 penerima ijazah PhD, 1,359 (sarjana), 5,281 (sarjana muda) dan 195 (diploma). Lulusan peringkat ijazah tinggi meningkat enam peratus daripada 1,393 tahun lalu kepada 1,474 graduan tahun ini.

* Psst : Sepatutnya kita, sebagai orang normal merasa malu apabila insan bernama Ng Shea Lau ini boleh berjaya walaupun dalam serba kekurangan. Ingatlah bahawa kejayaan tidak akan datang bergolek tanpa adanya usaha yang gigih

No comments: