Monday, August 11, 2008

Pusat beli-belah perlu peka kemudahan OKU


SHAH ALAM: Pengurusan bangunan termasuk pusat beli-belah dan pengusaha pengangkutan awam diharap lebih peka dengan keperluan orang kurang upaya (OKU) selain bersedia mengadakan kemudahan yang sesuai untuk golongan itu.

Isteri Timbalan Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, berkata walaupun kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) dan sektor korporat sudah memberikan pelbagai bantuan, kemudahan, perkhidmatan serta sokongan kepada OKU, kemudahan untuk OKU masih kurang dan belum mencukupi.

"Kini, hanya segelintir bangunan atau kompleks beli-belah menyediakan kemudahan bagi memudahkan pergerakan mereka yang menggunakan kerusi roda manakala pengangkutan awam seperti bas, teksi, kereta api dan LRT (sistem aliran ringan) pula agak kurang mesra terhadap golongan ini," katanya ketika merasmikan Majlis Fiesta Insan Istimewa 2008 (FIIS) di Anggerik Mall, di sini, semalam.

Hadir sama adalah Pengerusi Pertubuhan Kanak-Kanak Insan Istimewa Cemerlang merangkap Pengerusi Fiesta Insan Istimewa 2008, Abdul Halim Abdul Azis.

Rosmah berkata, walaupun peratusan OKU di negara ini kecil iaitu membabitkan satu peratus daripada jumlah keseluruhan penduduk Malaysia, kerajaan sentiasa prihatin bagi memastikan mereka tidak dipinggirkan, dieksploitasi atau didiskriminasi.

Katanya, dalam usaha memberi persamaan peluang serta membina keyakinan diri, beberapa agensi kerajaan antaranya Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Kementerian Pelajaran, Kementerian Kesihatan dan Kementerian Sumber Manusia menjalankan pelbagai program termasuk kemudahan rawatan, perkhidmatan pemulihan, pendidikan dan latihan serta peluang pekerjaan untuk OKU.

"Usaha ini diharap dapat mengintegrasikan golongan ini ke dalam masyarakat dan saya pasti komitmen bagi membela mereka akan diteruskan dengan program lebih berkesan," katanya.

Bagaimanapun, katanya, komitmen kerajaan juga terbatas dari segi kewangan dan turut menyukarkan penyediaan semua kemudahan atau memenuhi setiap keperluan OKU.

Justeru, beliau mengharapkan NGO atau sektor korporat memainkan peranan bagi merealisasikan usaha kerajaan dalam membela golongan itu.

Sementara itu, fiesta terbabit dianjurkan Pertubuhan Kanak-Kanak Insan Istimewa Cemerlang Selangor selama tiga hari bermula 8 Ogos lalu adalah satu program amal bertujuan mengumpul dana untuk membina Asrama Kanak-Kanak Insan Istimewa Cemerlang yang dilengkapi kemudahan pembelajaran, kemudahan terapi untuk sindrom down dan rawatan pemulihan untuk insan istimewa.

Abdul Halim berkata, kos yang diperlukan ialah RM1 juta untuk pembinaan asrama tiga tingkat itu dan dijangka dapat memuatkan 400 OKU.

Katanya, selain menjalankan program amal, pertubuhan itu akan menghasilkan sebuah cakera padat (CD) yang memuatkan lagu ciptaan komposer tempatan, Harun Ahmad, dan menjualnya kepada orang ramai pada harga RM10 setiap satu bagi mengumpul dana.

Pada majlis sama, Harun turut menerima Anugerah Ikon bagi menghargai jasa dan kebolehan kreatifnya dalam industri seni tempatan walaupun beliau sendiri cacat penglihatan.

No comments: