Saturday, August 23, 2008





Sahabat seperjuangan penyayang dijemput ke Program :



Tuisyen Anak-Anak Yatim

Masa : 9.30 pagi hingga 1.00 petang (Berkumpul di Pusanika jam 8 pagi)

Tarikh : 24 Ogos 2008 (Ahad ni)

Tempat : Rumah Anak-Anak Yatim Darul Hikmah dan Kami, KAjang



Ayuh..marilah kita sama-sama beramal untuk membantu golongan memerlukan ini. Semoga pekerjaan kita ini dinilai dan dihitung segala-salanya.





Tuesday, August 12, 2008

ESSET- BANGI : Satu persidangan kemuncak Kelab Penyayang seluruh Malaysia telah dijalankan pada 8 hingga 10 Ogos yang lalu. Saya dan rakan-rakan telah menyertainya selama 3 hari 2 malam dan merasai pengalaman yang pelbagai melalui persidangan tersebut.

Terdapat pelbagai acara yang boleh memberikan input yang berguna kepada kami sebagai wakil UKM. Sememangnya ia merupakan langkahan pertama sebelum kami menuju ke arah menjadi sukarelwan yang sejati.

Hisyamuddin Bin Che Ali
Presiden
Kelab Penyayang UKM

Monday, August 11, 2008

Graduan OKU antara lima lulus cemerlang



USAHA GIGIH: Raja Dr Nazrin Shah menyampaikan Ijazah Sarjana Ekonomi kepada penghidap polio, Ng Sheau Lan pada konvokesyen di Universiti Malaya, semalam.

KUALA LUMPUR: Pengalaman dimalukan dengan kata-kata penghinaan ketika meminta bantuan orang ramai membakar semangat Ng Sheau Lan membuktikan kemampuannya meraih kejayaan ketika belajar di Universiti Malaya, walaupun lumpuh dari paras pinggang akibat penyakit polio ketika berumur 11 bulan. "Sejak menghidap penyakit polio akibat demam, saya hanya mampu bergerak secara merangkak atau didukung. Ketika berumur lima tahun, saya berubat di China.

Hasilnya, kaki kanan saya pulih sedikit tetapi kaki kiri masih lemah. "Ada kala saya terpaksa meminta bantuan kerana sukar bergerak di tempat tertentu, terutama tangga. Namun, saya pernah dilemparkan kata-kata hina. "Memang hati amat terluka tetapi saya sedar mereka tidak memahami perasaan orang kurang upaya (OKU) seperti saya. Oleh itu, saya sentiasa berusaha membina keyakinan diri dengan membaca banyak buku motivasi dan mencari kekuatan melalui doa," katanya kepada Berita Harian semalam. Kecekalan Ng, 41, ternyata berbaloi apabila muncul antara 645 graduan yang menerima penganugerahan ijazah sarjana pada Istiadat Konvokesyen Universiti Malaya (UM) 2008 (Bahagian Kedua) yang disempurnakan Raja Muda Perak, Raja Dr Nazrin Shah yang juga Pro Canselor, semalam. Malah, anak sulung tiga beradik itu antara lima graduan yang memperoleh kelulusan cemerlang dalam pengajian Ijazah Sarjana Ekonomi dengan mencatat purata nilai gred kumulatif (PNGK) 3.74. Anak jati Kuala Lumpur itu turut meraih Anugerah Pelajar Terbaik program Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer (Pengajian Jarak Jauh) dari Universiti Putra Malaysia (UPM) pada 2004. "Saya sentiasa dahagakan ilmu pengetahuan kerana sedar kekurangan diri dari segi fizikal. Satu-satu kelebihan yang saya boleh bangunkan adalah dari segi pencapaian akademik," katanya yang kini bertugas sebagai Penolong Pengurus syarikat membangunkan perisian komputer. Pada konvokesyen itu, Raja Dr Nazrin turut menyempurnakan penganugerahan Profesor Emeritus kepada dekan pertama Fakulti Alam Bina UM, Prof Ezrin Arbi dan Prof Datuk Dr Lian Chin Boon dari Fakulti Pergigian universiti berkenaan.

Sebanyak 6,950 graduan dianugerahkan ijazah serta diploma kali ini meliputi 115 penerima ijazah PhD, 1,359 (sarjana), 5,281 (sarjana muda) dan 195 (diploma). Lulusan peringkat ijazah tinggi meningkat enam peratus daripada 1,393 tahun lalu kepada 1,474 graduan tahun ini.

* Psst : Sepatutnya kita, sebagai orang normal merasa malu apabila insan bernama Ng Shea Lau ini boleh berjaya walaupun dalam serba kekurangan. Ingatlah bahawa kejayaan tidak akan datang bergolek tanpa adanya usaha yang gigih

Pusat beli-belah perlu peka kemudahan OKU


SHAH ALAM: Pengurusan bangunan termasuk pusat beli-belah dan pengusaha pengangkutan awam diharap lebih peka dengan keperluan orang kurang upaya (OKU) selain bersedia mengadakan kemudahan yang sesuai untuk golongan itu.

Isteri Timbalan Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, berkata walaupun kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) dan sektor korporat sudah memberikan pelbagai bantuan, kemudahan, perkhidmatan serta sokongan kepada OKU, kemudahan untuk OKU masih kurang dan belum mencukupi.

"Kini, hanya segelintir bangunan atau kompleks beli-belah menyediakan kemudahan bagi memudahkan pergerakan mereka yang menggunakan kerusi roda manakala pengangkutan awam seperti bas, teksi, kereta api dan LRT (sistem aliran ringan) pula agak kurang mesra terhadap golongan ini," katanya ketika merasmikan Majlis Fiesta Insan Istimewa 2008 (FIIS) di Anggerik Mall, di sini, semalam.

Hadir sama adalah Pengerusi Pertubuhan Kanak-Kanak Insan Istimewa Cemerlang merangkap Pengerusi Fiesta Insan Istimewa 2008, Abdul Halim Abdul Azis.

Rosmah berkata, walaupun peratusan OKU di negara ini kecil iaitu membabitkan satu peratus daripada jumlah keseluruhan penduduk Malaysia, kerajaan sentiasa prihatin bagi memastikan mereka tidak dipinggirkan, dieksploitasi atau didiskriminasi.

Katanya, dalam usaha memberi persamaan peluang serta membina keyakinan diri, beberapa agensi kerajaan antaranya Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Kementerian Pelajaran, Kementerian Kesihatan dan Kementerian Sumber Manusia menjalankan pelbagai program termasuk kemudahan rawatan, perkhidmatan pemulihan, pendidikan dan latihan serta peluang pekerjaan untuk OKU.

"Usaha ini diharap dapat mengintegrasikan golongan ini ke dalam masyarakat dan saya pasti komitmen bagi membela mereka akan diteruskan dengan program lebih berkesan," katanya.

Bagaimanapun, katanya, komitmen kerajaan juga terbatas dari segi kewangan dan turut menyukarkan penyediaan semua kemudahan atau memenuhi setiap keperluan OKU.

Justeru, beliau mengharapkan NGO atau sektor korporat memainkan peranan bagi merealisasikan usaha kerajaan dalam membela golongan itu.

Sementara itu, fiesta terbabit dianjurkan Pertubuhan Kanak-Kanak Insan Istimewa Cemerlang Selangor selama tiga hari bermula 8 Ogos lalu adalah satu program amal bertujuan mengumpul dana untuk membina Asrama Kanak-Kanak Insan Istimewa Cemerlang yang dilengkapi kemudahan pembelajaran, kemudahan terapi untuk sindrom down dan rawatan pemulihan untuk insan istimewa.

Abdul Halim berkata, kos yang diperlukan ialah RM1 juta untuk pembinaan asrama tiga tingkat itu dan dijangka dapat memuatkan 400 OKU.

Katanya, selain menjalankan program amal, pertubuhan itu akan menghasilkan sebuah cakera padat (CD) yang memuatkan lagu ciptaan komposer tempatan, Harun Ahmad, dan menjualnya kepada orang ramai pada harga RM10 setiap satu bagi mengumpul dana.

Pada majlis sama, Harun turut menerima Anugerah Ikon bagi menghargai jasa dan kebolehan kreatifnya dalam industri seni tempatan walaupun beliau sendiri cacat penglihatan.