Tuesday, May 13, 2008

Karya Asal Saudara Hisyamuddin Yang Mendapat Liputan Akhbar Berita Harian Bertarikh 13 Mei 2008

Melihat Golongan Orang Kurang Upaya Sebagai Aset Penting Negara

Oleh : Hisyamuddin Che Ali
Presiden Kelab Penyayang
Universiti Kebangsaan Malaysia

Pada 8 Mei yang lalu, kehangatan sidang Dewan Rakyat telah menerjah keluar apabila kawasan lobi parlimen gamat seketika akibat pertengkaran antara dua ahli parlimen, Ibrahim Ali (Bebas- Pasir Mas) dan Bung Mokthar Radin ( BN- Kinabatangan) dengan sekumpulan 20 orang kurang upaya (OKU). Kumpulan itu menggelarkan diri mereka sebagai “Rakyat Malaysia yang Menentang Diskriminasi Terhadap Orang Kurang Upaya” (MADD). Hal ini adalah kerana gara-gara perdebatan hangat pada hari pertama sidang 29 April lalu di mana Ibrahim satu ketika mencelah dan menyindir Karpal Singh (DAP-Bukit Gelugor) yang berkerusi roda memintanya berdiri. Manakala Bung Mokthar mengelar Karpal ‘monyet’dan menyuruhnya bangun berdiri selepas tokoh DAP itu yang terpaksa menggunakan kerusi roda ekoran kemalangan jalan raya di Pulau Pinang dua tahun lepas mengelar beliau ‘bigfoot’. Jelas bahawa kedatangan kumpulan MADD bukan semata-mata bermotif politik, tetapi di sana ada luahan ketidakpuasan hati mereka terhadap diskriminasi oleh orang normal. Selama ini, golongan OKU hanya berdiam diri sahaja dan apabila mereka bersuara, sudah tentu ada beberapa perkara yang tidak kena dan mencabuli hak golongan OKU ini.

Menurut World Health Organisation (WHO), OKU ditafsirkan sebagai " Kanak-kanak atau orang dewasa yang cacat adalah mereka yang pada sesuatu masa, terhalang oleh keadaan fizikal atau mental dari melakukan aktiviti-aktiviti normal rakan sebaya seperti sosial, rekreasi , pelajaran dan vokasional ". Juga statistik WHO, terdapat 1-3% penduduk sesebuah negara terdiri daripada golongan orang kurang upaya (OKU) dan ini bermakna bahawa Malaysia yang mempunyai penduduk seramai 25 juta terdiri daripada 250 ,000 golongan OKU. Amat tinggi bilangannya dan mereka sudah tentu memerlukan hak samarata yang sama seperti orang yang normal. Langkah kerajaan wajar dipuji dalam meningkatkan hak OKU di Negara ini melalui langkah pemberian elaun bulanan, menyediakan laluan khas dan ruang kepada OKU di premis perniagaan mahupun awam, pelantikan seorang Senator mewakili suara mereka di Dewan Negara dan pelbagai langkah yang lain. Di Universiti Kebangsaan Malaysia sendiri, golongan OKU telah dibela haknya apabila diberikan kemudahan bilik asrama di tingkat paling bawah dan juga bantuan zakat.

Walaubagaimanapun, Kelab Penyayang Universiti Kebangsaan Malaysia (Penyayang UKM) melihat terdapat beberapa kelompangan lagi dalam memberikan hak keistimewaan kepada OKU ini di negara kita. Antaranya ialah kekurangan kemudahan asas untuk OKU seperti teksi OKU dan juga elaun bulanan mereka yang tidak disemak semula walaupun berlakunya kenaikan inflasi sekarang. Selain itu, pemikiran rakyat Malaysia yang masih jumud dan tidak toleran dalam menerima kehadiran OKU di sekeliling mereka adalah satu masalah yang besar. Kami merasakan masyarakat pada hari ini tidak memiliki sifat ‘sense of humanisme’ atau perasaan kemanusian terhadap OKU itu sendiri. Bukti jelas dalam sidang Parlimen baru-baru ini. Bayangkan sekiranya golongan OKU yang mendengar ucapan tersebut, pasti mereka sedih dan terkilan akibat kata-kata itu. Bagi mereka, kecacatan yang diperolehi oleh mereka bukannya mereka pinta atau mencarinya, tetapi adalah ketentuan takdir Illahi yang amat sukar ditolak akan kehendakNYa. Mungkin ada hikmah disebalik penciptaan OKU yang kami melihat bahawa ia satu peluang kepada manusia normal untuk menginsafi diri dan membantu golongan ini.

Selanjutnya, diskriminasi terhadap OKU turut berlaku dalam sektor pekerjaan sama ada bidang industri dan perkhidmatan. Sememangnya hak majikan untuk mengambil pekerja yang normal dalam pengeluaran hasil dan keuntungan yang tinggi adalah hak semulajadi mereka tetapi para majikan perlu memikirkan tanggungjawab sosial dalam semangat bermasyarakat. Kita lihat bahawa golongan OKU hanya sedikit mendapat pekerjaan di pasaran kerja dan pekerjaan yang diberikan oleh mereka hanya melibatkan pekerjaan yang tidak memerlukan mereka membuat keputusan dasar. Maknyanya, mereka hanya kekal di pekerjaan dan tiada berlakunya kenaikan pangkat dan tingkat gaji. Amat malang bagi mereka kerana walaupun betapa bagus dan komitednya mereka bekerja, golongan ini tetap berada dinafikan hak dan kekal berada di takuk yang lama.

Oleh itu, Penyayang UKM ingin mencadangkan agar kerajaan meminda Akta Orang Kurang Upaya dan menguatkuasakan dengan sepenuhnya ke atas orang yang bernaung di bawah undang-undang ini. Kesalahan penghinaan dan diskriminasi terhadap OKU sama ada melalui perkataan mahupun perbuatan perlu dimasukkan sekali ke dalam Kanun Keseksaan kita agar hukuman terhadap ‘penjenayah’ ini menjadi lebih berat. Juga, kempen kesedaran terhadap orang ramai akan hak OKU dalam negara ini perlu dipertingkatkan lagi dan silibus pelajaran tentang OKU perlu diselitkan dalam pengajaran di sekolah-sekolah. Elaun khas mereka dan kemudahan infrastruktur juga perlu dipertingkatkan lagi agar diri mereka terbela dan hak istimewa mereka terjaga. Hal ini amat penting agar imej negara kita tidak tercalar di mata masyarakat dunia di samping keperluan untuk memenuhi tanggungjawab sosial terhadap golongan ini. Bagi umat islam pula, konsep dosa dan pahala boleh diterjemahkan dalam penjagaan hak OKU itu sendiri yang mana penafian dan pendiskriminasian terhadap mereka akan menyebabkan akan berlakunya peng‘anugerah’an dosa kepada pelakunya.

Kesimpulannya, pendiskriminasian terhadap OKU perlu dihapuskan segera oleh pihak berautoriti dan hak mereka patut dikembalikan semula. Secara faktanya, OKU di Malaysia amat banyak menyumbang kepada pembangunan Negara sama ada melalui perkhidmatan kerja, penasihat dan juga dalam lapangan sukan. Dari satu sudut, OKU memilik kepakaran luar biasa yang tidak ada pada manusia normal sendiri. Contohnya Prof Datuk Dr Ismail Ibrahim, memiliki kepakaran dalam bidang penasihat ekonomi dan menjadi role model kepada penghasilan sumber insan OKU itu sendiri. Penyayang UKM amat berharap kepada masyarakat Malaysia agar memandang OKU sebagai aset penting bagi Negara, bukannya melihat mereka semata-mata sebagai liabliti atau tangungan yang perlu dimansuhkan atau didiskriminasikan.

No comments: