Sahabat seperjuangan penyayang dijemput ke Program :
Tuisyen Anak-Anak Yatim
Masa : 9.30 pagi hingga 1.00 petang (Berkumpul di Pusanika jam 8 pagi)
Tarikh : 24 Ogos 2008 (Ahad ni)
Tempat : Rumah Anak-Anak Yatim Darul Hikmah dan Kami, KAjang
Ayuh..marilah kita sama-sama beramal untuk membantu golongan memerlukan ini. Semoga pekerjaan kita ini dinilai dan dihitung segala-salanya.
Saturday, August 23, 2008
Tuesday, August 12, 2008
Terdapat pelbagai acara yang boleh memberikan input yang berguna kepada kami sebagai wakil UKM. Sememangnya ia merupakan langkahan pertama sebelum kami menuju ke arah menjadi sukarelwan yang sejati.
Hisyamuddin Bin Che Ali
Presiden
Kelab Penyayang UKM
Monday, August 11, 2008
Graduan OKU antara lima lulus cemerlang
KUALA LUMPUR: Pengalaman dimalukan dengan kata-kata penghinaan ketika meminta bantuan orang ramai membakar semangat Ng Sheau Lan membuktikan kemampuannya meraih kejayaan ketika belajar di Universiti Malaya, walaupun lumpuh dari paras pinggang akibat penyakit polio ketika berumur 11 bulan. "Sejak menghidap penyakit polio akibat demam, saya hanya mampu bergerak secara merangkak atau didukung. Ketika berumur lima tahun, saya berubat di China.
Hasilnya, kaki kanan saya pulih sedikit tetapi kaki kiri masih lemah. "Ada kala saya terpaksa meminta bantuan kerana sukar bergerak di tempat tertentu, terutama tangga. Namun, saya pernah dilemparkan kata-kata hina. "Memang hati amat terluka tetapi saya sedar mereka tidak memahami perasaan orang kurang upaya (OKU) seperti saya. Oleh itu, saya sentiasa berusaha membina keyakinan diri dengan membaca banyak buku motivasi dan mencari kekuatan melalui doa," katanya kepada Berita Harian semalam. Kecekalan Ng, 41, ternyata berbaloi apabila muncul antara 645 graduan yang menerima penganugerahan ijazah sarjana pada Istiadat Konvokesyen Universiti Malaya (UM) 2008 (Bahagian Kedua) yang disempurnakan Raja Muda Perak, Raja Dr Nazrin Shah yang juga Pro Canselor, semalam. Malah, anak sulung tiga beradik itu antara lima graduan yang memperoleh kelulusan cemerlang dalam pengajian Ijazah Sarjana Ekonomi dengan mencatat purata nilai gred kumulatif (PNGK) 3.74. Anak jati Kuala Lumpur itu turut meraih Anugerah Pelajar Terbaik program Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer (Pengajian Jarak Jauh) dari Universiti Putra Malaysia (UPM) pada 2004. "Saya sentiasa dahagakan ilmu pengetahuan kerana sedar kekurangan diri dari segi fizikal. Satu-satu kelebihan yang saya boleh bangunkan adalah dari segi pencapaian akademik," katanya yang kini bertugas sebagai Penolong Pengurus syarikat membangunkan perisian komputer. Pada konvokesyen itu, Raja Dr Nazrin turut menyempurnakan penganugerahan Profesor Emeritus kepada dekan pertama Fakulti Alam Bina UM, Prof Ezrin Arbi dan Prof Datuk Dr Lian Chin Boon dari Fakulti Pergigian universiti berkenaan.
Sebanyak 6,950 graduan dianugerahkan ijazah serta diploma kali ini meliputi 115 penerima ijazah PhD, 1,359 (sarjana), 5,281 (sarjana muda) dan 195 (diploma). Lulusan peringkat ijazah tinggi meningkat enam peratus daripada 1,393 tahun lalu kepada 1,474 graduan tahun ini.
* Psst : Sepatutnya kita, sebagai orang normal merasa malu apabila insan bernama Ng Shea Lau ini boleh berjaya walaupun dalam serba kekurangan. Ingatlah bahawa kejayaan tidak akan datang bergolek tanpa adanya usaha yang gigih
Pusat beli-belah perlu peka kemudahan OKU
Isteri Timbalan Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, berkata walaupun kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) dan sektor korporat sudah memberikan pelbagai bantuan, kemudahan, perkhidmatan serta sokongan kepada OKU, kemudahan untuk OKU masih kurang dan belum mencukupi.
"Kini, hanya segelintir bangunan atau kompleks beli-belah menyediakan kemudahan bagi memudahkan pergerakan mereka yang menggunakan kerusi roda manakala pengangkutan awam seperti bas, teksi, kereta api dan LRT (sistem aliran ringan) pula agak kurang mesra terhadap golongan ini," katanya ketika merasmikan Majlis Fiesta Insan Istimewa 2008 (FIIS) di Anggerik Mall, di sini, semalam.
Hadir sama adalah Pengerusi Pertubuhan Kanak-Kanak Insan Istimewa Cemerlang merangkap Pengerusi Fiesta Insan Istimewa 2008, Abdul Halim Abdul Azis.
Rosmah berkata, walaupun peratusan OKU di negara ini kecil iaitu membabitkan satu peratus daripada jumlah keseluruhan penduduk Malaysia, kerajaan sentiasa prihatin bagi memastikan mereka tidak dipinggirkan, dieksploitasi atau didiskriminasi.
Katanya, dalam usaha memberi persamaan peluang serta membina keyakinan diri, beberapa agensi kerajaan antaranya Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Kementerian Pelajaran, Kementerian Kesihatan dan Kementerian Sumber Manusia menjalankan pelbagai program termasuk kemudahan rawatan, perkhidmatan pemulihan, pendidikan dan latihan serta peluang pekerjaan untuk OKU.
"Usaha ini diharap dapat mengintegrasikan golongan ini ke dalam masyarakat dan saya pasti komitmen bagi membela mereka akan diteruskan dengan program lebih berkesan," katanya.
Bagaimanapun, katanya, komitmen kerajaan juga terbatas dari segi kewangan dan turut menyukarkan penyediaan semua kemudahan atau memenuhi setiap keperluan OKU.
Justeru, beliau mengharapkan NGO atau sektor korporat memainkan peranan bagi merealisasikan usaha kerajaan dalam membela golongan itu.
Sementara itu, fiesta terbabit dianjurkan Pertubuhan Kanak-Kanak Insan Istimewa Cemerlang Selangor selama tiga hari bermula 8 Ogos lalu adalah satu program amal bertujuan mengumpul dana untuk membina Asrama Kanak-Kanak Insan Istimewa Cemerlang yang dilengkapi kemudahan pembelajaran, kemudahan terapi untuk sindrom down dan rawatan pemulihan untuk insan istimewa.
Abdul Halim berkata, kos yang diperlukan ialah RM1 juta untuk pembinaan asrama tiga tingkat itu dan dijangka dapat memuatkan 400 OKU.
Katanya, selain menjalankan program amal, pertubuhan itu akan menghasilkan sebuah cakera padat (CD) yang memuatkan lagu ciptaan komposer tempatan, Harun Ahmad, dan menjualnya kepada orang ramai pada harga RM10 setiap satu bagi mengumpul dana.
Pada majlis sama, Harun turut menerima Anugerah Ikon bagi menghargai jasa dan kebolehan kreatifnya dalam industri seni tempatan walaupun beliau sendiri cacat penglihatan.
Wednesday, June 18, 2008
Mahasiswa perlu ada nilai tamba
Graduan mesticari keistimewaan diri selain daripada ijazah, diploma
SETIAP pertengahan tahun kita akan melihat kebanjiran mahasiswa yang menamatkan pengajian dari pusat pengajian tinggi. Data Jabatan Perangkaan mendapati 31,000 graduan masih menganggur pada akhir suku pertama tahun ini.
Menurut maklumat Kementerian Sumber Manusia pula, Malaysia mengeluarkan 60,000 graduan setiap tahun. Dilema yang membelenggu siswazah sudah pastilah untuk mencari pekerjaan. Ramai juga merungut kerana sukar mendapat kerja.
Persaingan berlaku di kalangan siswazah menganggur. Penulis ingin menarik perhatian pembaca terutama siswazah yang baru menamatkan pengajian mengenai kesukaran mendapatkan pekerjaan ini.
Siswazah perlu bertanya apakah keistimewaan diri yang boleh dijadikan sandaran untuk layak mengisi sesuatu kekosongan jawatan. Kebanyakan mereka yang baru bergelar siswazah mungkin masih lagi terawang-awang dan tidak berpijak di bumi nyata.
Mereka rasa bahawa apa yang mereka buat selama ini sudah terlalu bagus dan hebat. Mereka berasakan bahawa ijazah atau diploma yang mereka peroleh itu sudah terlalu besar untuk mengharungi dunia sebenar yang penuh dengan cabaran dan liku kehidupan.
Siswazah juga harus tahu bahawa institusi tempat mereka belajar bukanlah sebagai tiket untuk mereka mendahului pesaing lain bagi mendapat pekerjaan. Mereka yang keluar dari universiti tersohor negara contohnya merasakan mereka sudah cukup bagus berbanding dengan siswazah institusi kecil yang tidak terkenal.
Sebenarnya nama institusi pengajian tinggi yang mereka bawa hanya menyumbang sebahagian kecil saja daripada kejayaan mereka untuk mendapat pekerjaan. Sekiranya mereka tidak mempunyai keterampilan baik dan keistimewaan yang membezakan mereka daripada calon lain, mereka tetap tidak akan berjaya mendapat pekerjaan.
Keistimewaan inilah yang dikatakan sebagai 'nilai tambah'. Nilai tambah adalah keistimewaan tambahan yang dimiliki seseorang calon untuk membezakannya dengan calon lain. Keistimewaan ini penting dalam situasi apabila calon yang disenarai pendek mempunyai kelayakan akademik hampir sama.
Contohnya dalam satu temu duga, ada 10 calon mempunyai Purata Mata Gred Keseluruhan (CGPA) 3.5. Tetapi cuma satu kekosongan. Pada masa inilah keistimewaan lain dimiliki calon akan dinilai.
Kehidupan ketika di kampus bukan saja untuk mentelaah buku pelajaran semata-mata. Banyak aktiviti diadakan di kampus yang boleh digunakan sebagai tempat mencari nilai tambah atau keistimewaan sebagai bekalan untuk menempuh alam pekerjaan nanti.
Nilai tambah ini boleh diperoleh melalui beberapa cara, antaranya melalui kepemimpinan, keusahawanan, sukan, badan beruniform dan kemahiran atau ilmu dari segi kelangsungan hidup. Dengan menyertai persatuan atau kelab pelajar, akan dapat mengasah bakat kepemimpinan mereka.
Sebenarnya ramai berpendapat bahawa menyertai dan memimpin persatuan hanyalah untuk aktiviti di kampus dan ia tidak diperlukan di alam pekerjaan. Pendapat ini silap sama sekali. Jika kita menyertai aktiviti persatuan, contohnya mengendalikan seminar, menganjurkan kursus, mengadakan majlis makan malam, ia memberi satu pengalaman yang memang akan di bawa ke alam pekerjaan.
Jika kita bekerja di syarikat swasta contohnya, mereka mungkin akan mengadakan majlis menandatangani memorandum persefahaman, majlis jamuan makan malam korporat tahunan atau hari keluarga. Kakitangan yang ada pengalaman akan diminta untuk mengendalikan semua ini.
Mereka yang sudah biasa dengan aktiviti seperti ini di kampus tidak akan berasa kekok untuk mengendalikan majlis seperti ini sewaktu di tempat kerja. Begitu juga kita menjadi pemimpin persatuan.
Mereka yang sudah biasa memimpin persatuan tidak akan menghadapi masalah untuk mengendalikan mesyuarat apabila mereka bekerja nanti dan tidak kekok untuk menguruskan pekerja bawahan kerana mereka sudah biasa menjadi presiden atau pengarah projek ketika di kampus dulu.
Kemahiran dalam kepemimpinan juga berkait rapat dengan kebolehan berkomunikasi. Mereka yang aktif dan biasa menjadi pengacara majlis ketika di kampus contohnya, akan mempunyai keyakinan untuk bercakap kerana mereka sudah biasa bercakap di khalayak ramai.
Sekarang ini banyak aktiviti bersifat keusahawanan dianjurkan di kampus. Program siswaniaga contohnya adalah program mengasah bakat keusahawanan di kalangan mahasiswa.
Menyertai program siswaniaga bukanlah bermaksud mereka mesti menjadi usahawan tetapi apa yang lebih penting, ciri seperti ketabahan, bijak mencari peluang, kreatif yang dipupuk ketika mereka menyertai program terbabit, akan berguna di alam pekerjaan mereka.
Nilai keusahawanan bukan hanya ada kepada usahawan, malah seseorang eksekutif yang mempunyai ciri usahawan akan dapat membawa organisasinya ke arah lebih baik, sesuai dengan nilai keusahawanan yang sentiasa ingin kepada perubahan dan perkembangan positif.
Selain itu, menyertai badan beruniform adalah sangat baik. Malah banyak syarikat korporat menggemari bakal pekerja mereka yang mempunyai latar belakang dalam badan beruniform. Ini kerana mereka yang biasa terbabit dengan badan beruniform sudah terdidik dengan disiplin terutama dari segi menepati masa.
Kebolehan dalam sukan sangat berharga kepada siswazah. Ini kerana banyak syarikat korporat menggunakan sukan untuk menaikkan lagi nama syarikat mereka. Contohnya TM yang mempunyai pasukan bolanya sendiri dan menyertai kejohanan bertaraf nasional di negara ini.
Aktiviti sukan juga selalunya digunakan sebagai medium sosial di dalam syarikat. Banyak syarikat, contohnya bank mengadakan perlawanan futsal antara cawangan sebagai aktiviti merapatkan hubungan antara cawangan mereka.
Cawangan yang memiliki ahli sukan berbakat ini sudah pasti boleh menaikkan nama cawangan mereka di dalam syarikat mereka sendiri. Ini menjadikan pekerja mempunyai bakat sukan sangat diminati oleh majikan.
Kemahiran kelangsungan hidup juga dapat memberi keistimewaan kepada seseorang calon temu duga. Banyak ilmu berkaitan kemahiran seperti ini boleh ditimba mahasiswa, antaranya ilmu pertolongan cemas, ilmu menyelamat, kemahiran bahasa isyarat dan banyak lagi adalah kemahiran yang boleh menarik perhatian majikan untuk mengambil seseorang siswazah bekerja di organisasi mereka.
Pengalaman penulis sebagai pensyarah, ramai di antara bekas pelajar memberi maklum balas baik terhadap aktiviti ko-kurikulum mereka ketika di kampus. Mereka memberitahu bahawa penemuduga lebih banyak bertanya kepada mengenai aktiviti kepemimpinan ketika di kampus berbanding dengan pengetahuan mengenai akademik.
Sebenarnya aktiviti kepemimpinan dan aktiviti lain selain akademik akan membentuk keyakinan diri kepada siswazah apabila mereka berada dalam sesuatu organisasi. Majikan tidak berminat kepada eksekutif yang mempunyai pengetahuan tinggi dalam bidangnya tetapi tidak mempunyai keyakinan diri kerana tidak biasa berhubung dengan orang ramai.
Dunia korporat membabitkan perhubungan dengan banyak pihak dan sudah tentulah kemahiran perhubungan manusia sangat penting. Ini hanya dapat digilap sekiranya mahasiswa bergiat aktif dalam persatuan ketika di kampus.
Bukan bermaksud mendapat CGPA yang tinggi tidak penting. Tetapi pada sesetengah keadaan, CGPA sederhana yang disertakan dengan nilai tambah adalah lebih disukai majikan berbanding CGPA tinggi tanpa nilai tambah.
Tetapi harus diingat, CGPA yang tinggi dan mempunyai nilai tambah adalah yang terbaik. Ini bermakna jika dengan kelulusan tinggi ditambah dengan keistimewaan lain yang diperoleh seseorang pelajar, akan menjadikannya lebih berdaya saing dalam usaha mendapatkan pekerjaan.
Penulis ialah Pensyarah Pengurusan Perniagaan dan Ko-ordinator Pusat Informasi Usahawan, Kolej Profesional Mara Melaka
Tuesday, June 10, 2008
Nasib Kanak-Kanak Masa Kini
KEMAMAN – Seorang bayi perempuan yang baru dilahirkan kira-kira seminggu lalu ditemui dalam keadaan tidak bernyawa dan amat menyedihkan, berhampiran sebuah bangunan perniagaan di Taman Geliga Indah, Chukai, di sini, tengah hari semalam.
Ketika ditemui, mayat bayi berkenaan yang ditinggalkan di atas kaki lima bangunan perniagaan tersebut dengan berbalut sehelai kain pelikat kelihatan masih bertali pusat, tetapi sudah berbau.
Sinar Harian difahamkan mayat bayi itu ditemui oleh salah seorang pekerja yang sedang menjalankan kerja mencuci di sekitar premis perniagaan tersebut.
Seorang penduduk di kawasan berhampiran yang tidak mahu dikenali memberitahu, pada malam sebelum kejadian kira-kira jam 12 malam, dia ada melalui di kawasan tersebut, tetapi tidak melihat sebarang tanda mencurigakan.
“Namun, pada hari ini (semalam), saya agak terkejut apabila diberitahu mengenai penemuan mayat bayi ini. Mungkin mayat ini telah dibuang pada awal pagi kelmarin,” ujarnya.
Menurut Ketua Polis Daerah Kemaman, Pemangku Superitendan Abdullah Sani Salat, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam mengenai kejadian tersebut pada jam 12.30 tengah hari semalam.
Katanya, sebaik menerima laporan tersebut sepasukan anggota polis daripada Ibu Pejabat Polis Chukai terus bergegas ke tempat kejadian.
“Ketika tiba di tempat kejadian, polis mendapati mayat seorang bayi perempuan ditemui dalam keadaan berbalut dengan sehelai kain pelikat dan sudah berbau.
“Mayat berkenaan akhirnya di hantar ke bilik mayat Hospital Kemaman untuk tujuan bedah siasat,” ujarnya kepada Sinar Harian.
Menurut beliau, sehingga kini pihaknya masih belum mengenal pasti punca kematian bayi tersebut kerana sedang menunggu laporan bedah siasat dan kes terbabit akan disiasat di bawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan atas kesalahan membuang bayi.
“Kita mengharapkan kerjasama orang ramai untuk tampil membantu pihak polis dan bagi sesiapa yang terlihat individu dalam keadaan mencurigakan pada malam sebelum kejadian sila hubungi balai polis berhampiran.
“Selain itu, mana-mana klinik dan hospital di daerah ini yang ada menerima kes kelahiran bayi dalam keadaan mencurigakan sebelum ini sila tampil membantu pihak polis bagi memudahkan siasatan dijalankan,” ujarnya.
* Penyayang simpati terhadap anak-anak generasi akan datang yang dizalimi oleh manusia bertopeng haiwan
Pahala besar jaga kebajikan anak-anak yatim
| |
| |||
Tuesday, May 20, 2008
Peristiwa menakjubkan..
Gambar ini dijumpa dalam satu blog. Khabarnya dari seorang rakan di Riyadh.Alangkah indahnya hidup jika dapat mati dalam keadaan sebegini.
Rasulullah pernah bersabda (lebih kurang maksudnya) اللهم اختم لنا بØسن الخاتمة ولا تختم علينا بسوء الخاتمة
: "Dibangkitkan manusia pada hari kiamat mengikut sebagaimana keadaan dia dimatikan"
Manusia lahir disambut dengan azan, mati manusia diiringi dengan solat...Antara azan dan solat, alangkah singkatnya hidup ini! Sama-samalah kita fikirkan betapa hidup ini terlalu pantas…syurgalah penebus kepada kesingkatan dunia itu sendiri..
Nargis mengganas.. Rakyat Myanmar menangis lagi..
Myanmar bergegar. Ketika itu semua orang berasa takut melihat ribut yang ganas dan menggila merempuh segala satu yang berada di sekitar delta Negeri Myanmar. Ini termasuklah Yangon, Ayeryarwady, Bago, Mao, dan Kayin iaitu tempat terjejas teruk. Manusia, haiwan, tumbuhan, dan harta semuanya berterbangan ditiup kuat oleh Taufan Nargis.
Begitu banyak nyawa yang hilang dalam sekelip mata. pada tahun 1991, Bangladesh pernah kehilangan 138 000 nyawa kerana taufan. Tiada siapa yang dapat menyangka kedahsyatannya begitu rupa sehingga membunuh puluhan dan ratusan ribu nyawa manusia. Insan yang muda atau tua, sihat atau sakit, bala Tuhan tidak bermata.
Hari ini, anak kehilangan ibu bapa, dan ibu bapa kehilangan anaknya. Bekalan air dan elektrik serta laluan jalan terputus. Keadaan di sana seumpama kawasan peperangan ataupun sebuah kawasan yang diserbu oleh gajah-gajah yang naik minyak. Tiang tumbang, atap tercabut, cermin pecah, dan akhirnya rumah runtuh.
Ketika taufan bertiup kencang, kami tidak dapat mendengar suara apa-apa melainkan deruan angin sama seperti deruan enjin sebuah kapal terbang. Mereka yang terselamat berdiri di tepi-tepi dinding sambil berpaut pada besi atau seumpamanya. Masa itu degupan jantung sekencang taufan meniup. Kelihatan waktu itu gugusan angin bergerak seperti 'tentera-tentera' Tuhan meluru masuk kejalan-jalan lebar dengan bengis dan garang . Barulah kini kami tahu hanya Tuhan sebaik-baik tempat untuk kami berpaut.
Jika puluh ribuan mausia mati seperti khabaran, lihatkan mana mayatnya. Marilah kita mengambil iktibar. Hanya dengan seketika bala, deritanya bakal sepanjang zaman.
Barat(Acheh) sudah dan utara(Myanmar) pun sudah. Laut Cina Selatan ada di timur terbuka luas menanti tetamu yang tidak diundang. Malaysia yang halus seperti lidi, jika disepak ombak, hilang lenyap dari peta.Marilah kita sama-sama ahli kelab Penyayang untuk mengambil iktibar bencana 6 Mei ini....
Berita di Akhbar Antarabangsa
Korban taufan di Myanmar cecah 15,000 orang
06 May 2008
YANGON, 6 Mei - Taufan Nargis di Myanmar telah mencecah 15,000 orang, kata Menteri Luar, Nyan Win, kepada stesen televisyen rasmi negara itu, hari ini.
Nyan Win berkata, pemerintah masih terus menerima laporan mengenai kemusnahan akibat bencana itu dari kampung-kampung di daerah delta Sungai Irrawaddy, yang paling teruk dilanda taufan Nargis, Sabtu lalu.
Di Yangon, harga barangan makanan dan bahan bakar melambung dan pertubuhan-pertubuhan kemanusiaan bekerja keras menempatkan pasukan penyelamat di lokasi yang dilanda taufan tersebut.
Sumber Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata pihaknya akan menghantar ‘bantuan darurat’ seperti barangan makanan, air bersih, dan selimut, serta plastik untuk membungkus mayat-mayat.
Sumber dari India pula berkata pihaknya akan segera menghantar dua kapal angkatan tentera laut yang memuatkan bahan makanan, selimut, pakaian dan ubat-ubatan.
* Semoga peristiwa ini meyedarkan kita bahawa masih ramia lagi orang yang memerlukan kasih sayang kemanusian daripada kita yang bebas dari bencana ini.
Tuesday, May 13, 2008
Ahli Kelab Penyayang UKM turun padang selami kehidupan OKU |
Agenda Selangor - 12 Mei 2008
OLEH AZROL BIDIN BANGI, Ahad11 Mei : Bagi memastikan sikap prihatin dan penyayang kekal dalam sanubari pelajar, Kelab Penyayang Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Bangi, turun padang meraikan kanak-kanak terencat akal di Terengganu, kelmarin. Posted by Webmaster on Monday 12 May 2008 - 09:13:20 | Read/Post Comment: 0 | {PDF=create pdf of this news item^news.405} |
Melihat Golongan Orang Kurang Upaya Sebagai Aset Penting Negara
Presiden
Universiti Kebangsaan Malaysia
Pada 8 Mei yang lalu, kehangatan sidang Dewan Rakyat telah menerjah keluar apabila kawasan lobi parlimen gamat seketika akibat pertengkaran antara dua ahli parlimen, Ibrahim Ali (Bebas- Pasir Mas) dan Bung Mokthar Radin ( BN- Kinabatangan) dengan sekumpulan 20 orang kurang upaya (OKU). Kumpulan itu menggelarkan diri mereka sebagai “Rakyat Malaysia yang Menentang Diskriminasi Terhadap Orang Kurang Upaya” (MADD). Hal ini adalah kerana gara-gara perdebatan hangat pada hari pertama sidang 29 April lalu di mana Ibrahim satu ketika mencelah dan menyindir Karpal Singh (DAP-Bukit Gelugor) yang berkerusi roda memintanya berdiri. Manakala Bung Mokthar mengelar Karpal ‘monyet’dan menyuruhnya bangun berdiri selepas tokoh DAP itu yang terpaksa menggunakan kerusi roda ekoran kemalangan jalan raya di Pulau Pinang dua tahun lepas mengelar beliau ‘bigfoot’. Jelas bahawa kedatangan kumpulan MADD bukan semata-mata bermotif politik, tetapi di sana ada luahan ketidakpuasan hati mereka terhadap diskriminasi oleh orang normal. Selama ini, golongan OKU hanya berdiam diri sahaja dan apabila mereka bersuara, sudah tentu ada beberapa perkara yang tidak kena dan mencabuli hak golongan OKU ini.
Menurut World Health Organisation (WHO), OKU ditafsirkan sebagai " Kanak-kanak atau orang dewasa yang cacat adalah mereka yang pada sesuatu masa, terhalang oleh keadaan fizikal atau mental dari melakukan aktiviti-aktiviti normal rakan sebaya seperti sosial, rekreasi , pelajaran dan vokasional ". Juga statistik WHO, terdapat 1-3% penduduk sesebuah negara terdiri daripada golongan orang kurang upaya (OKU) dan ini bermakna bahawa Malaysia yang mempunyai penduduk seramai 25 juta terdiri daripada 250 ,000 golongan OKU. Amat tinggi bilangannya dan mereka sudah tentu memerlukan hak samarata yang sama seperti orang yang normal. Langkah kerajaan wajar dipuji dalam meningkatkan hak OKU di Negara ini melalui langkah pemberian elaun bulanan, menyediakan laluan khas dan ruang kepada OKU di premis perniagaan mahupun awam, pelantikan seorang Senator mewakili suara mereka di Dewan Negara dan pelbagai langkah yang lain. Di Universiti Kebangsaan Malaysia sendiri, golongan OKU telah dibela haknya apabila diberikan kemudahan bilik asrama di tingkat paling bawah dan juga bantuan zakat.
Walaubagaimanapun, Kelab Penyayang Universiti Kebangsaan Malaysia (Penyayang UKM) melihat terdapat beberapa kelompangan lagi dalam memberikan hak keistimewaan kepada OKU ini di negara kita. Antaranya ialah kekurangan kemudahan asas untuk OKU seperti teksi OKU dan juga elaun bulanan mereka yang tidak disemak semula walaupun berlakunya kenaikan inflasi sekarang. Selain itu, pemikiran rakyat Malaysia yang masih jumud dan tidak toleran dalam menerima kehadiran OKU di sekeliling mereka adalah satu masalah yang besar. Kami merasakan masyarakat pada hari ini tidak memiliki sifat ‘sense of humanisme’ atau perasaan kemanusian terhadap OKU itu sendiri. Bukti jelas dalam sidang Parlimen baru-baru ini. Bayangkan sekiranya golongan OKU yang mendengar ucapan tersebut, pasti mereka sedih dan terkilan akibat kata-kata itu. Bagi mereka, kecacatan yang diperolehi oleh mereka bukannya mereka pinta atau mencarinya, tetapi adalah ketentuan takdir Illahi yang amat sukar ditolak akan kehendakNYa. Mungkin ada hikmah disebalik penciptaan OKU yang kami melihat bahawa ia satu peluang kepada manusia normal untuk menginsafi diri dan membantu golongan ini.
Selanjutnya, diskriminasi terhadap OKU turut berlaku dalam sektor pekerjaan sama ada bidang industri dan perkhidmatan. Sememangnya hak majikan untuk mengambil pekerja yang normal dalam pengeluaran hasil dan keuntungan yang tinggi adalah hak semulajadi mereka tetapi para majikan perlu memikirkan tanggungjawab sosial dalam semangat bermasyarakat. Kita lihat bahawa golongan OKU hanya sedikit mendapat pekerjaan di pasaran kerja dan pekerjaan yang diberikan oleh mereka hanya melibatkan pekerjaan yang tidak memerlukan mereka membuat keputusan dasar. Maknyanya, mereka hanya kekal di pekerjaan dan tiada berlakunya kenaikan pangkat dan tingkat gaji. Amat malang bagi mereka kerana walaupun betapa bagus dan komitednya mereka bekerja, golongan ini tetap berada dinafikan hak dan kekal berada di takuk yang lama.
Oleh itu, Penyayang UKM ingin mencadangkan agar kerajaan meminda Akta Orang Kurang Upaya dan menguatkuasakan dengan sepenuhnya ke atas orang yang bernaung di bawah undang-undang ini. Kesalahan penghinaan dan diskriminasi terhadap OKU sama ada melalui perkataan mahupun perbuatan perlu dimasukkan sekali ke dalam Kanun Keseksaan kita agar hukuman terhadap ‘penjenayah’ ini menjadi lebih berat. Juga, kempen kesedaran terhadap orang ramai akan hak OKU dalam negara ini perlu dipertingkatkan lagi dan silibus pelajaran tentang OKU perlu diselitkan dalam pengajaran di sekolah-sekolah. Elaun khas mereka dan kemudahan infrastruktur juga perlu dipertingkatkan lagi agar diri mereka terbela dan hak istimewa mereka terjaga. Hal ini amat penting agar imej negara kita tidak tercalar di mata masyarakat dunia di samping keperluan untuk memenuhi tanggungjawab sosial terhadap golongan ini. Bagi umat islam pula, konsep dosa dan pahala boleh diterjemahkan dalam penjagaan hak OKU itu sendiri yang mana penafian dan pendiskriminasian terhadap mereka akan menyebabkan akan berlakunya peng‘anugerah’an dosa kepada pelakunya.
Kesimpulannya, pendiskriminasian terhadap OKU perlu dihapuskan segera oleh pihak berautoriti dan hak mereka patut dikembalikan semula. Secara faktanya, OKU di Malaysia amat banyak menyumbang kepada pembangunan Negara sama ada melalui perkhidmatan kerja, penasihat dan juga dalam lapangan sukan. Dari satu sudut, OKU memilik kepakaran luar biasa yang tidak ada pada manusia normal sendiri. Contohnya Prof Datuk Dr Ismail Ibrahim, memiliki kepakaran dalam bidang penasihat ekonomi dan menjadi role model kepada penghasilan sumber insan OKU itu sendiri. Penyayang UKM amat berharap kepada masyarakat Malaysia agar memandang OKU sebagai aset penting bagi Negara, bukannya melihat mereka semata-mata sebagai liabliti atau tangungan yang perlu dimansuhkan atau didiskriminasikan.
Monday, May 12, 2008
Coretan di Parlimen
Pada 7 Mei yang lalu, penulis bersama-sama dengan 35 pelajar UKM telah mengunjungi Parlimen dan melihat perjalanan sidang parlimen secara realiti yang selama ini hanya dilihat melalui akhbar dan TV sahaj. Penulis amat teruja disebabkan oleh suasana demokrasi berparlimen yang diamalkan di negara ini.
Di Parlimenlah konsep check and balance atau semak dan imbang dijalankan. Pihak pembangkang akan menjadi pemerhati tetap kepada setiap langkah kerajaan amalkan dan akan menegur kerajaan sekiranya berlakunya penyelewengan mahupun kezaliman. Manakala barisan backbencher kerajaan akan menjadi perisai mempertahankan tindakan kerajaan itu.
Dalam lawatan tersebut, dapat dilihat gelagat Ahli Parlimen dan situasi di dalam Parlimen. Ada yang diejek, suka menganggu percakapan orang lain, ditanya soalan yang tidak dapat dijawab dan lain-lain lagi. Walaubagaimanapun, terdapat ahli Parlimen yang terlepas cakap dan perkataan yang sepatutnya tidak keluar daripada Yang Berhormat walaupun hak bebas bercakap ini dijamin oleh Perkatra 63 Perlembagaan kita sendiri.
Apa yang menarik, semasa berdialog dengan Pengawai Parlimen, terdapat soalan yang menyentuh tentang elaun para Ahli Parlimen. Untuk pengetahuan semua, sesiapa Ahli Parlimen yang hadir ke Parlimen, akan mendapat elaun kehadiran mesyuarat RM 200 walaupoun tidak bercakap. Itulah sedikit sebanyak coretan keistimewaan Parlimen kita yang bagi penulis, merupakan tempat yang amat misteri dan penuh dengan kisah sejarah yang perlu kita ambil iktibar
Kelab Penyayang Universiti Kebangsaan Malaysia sesi 2007/2008, telah menganjurkan satu program lawatan ke Parlimen. Terdapat seramai 35 orang peserta, diiringi oleh 4 orang urusetia dan 1 orang penasihat pengiring dalam program lawatan Sehari di Parlimen 2008 ini. Butir-butir yang lengkap berkaitan program ini adalah seperti berikut :
Tarikh : 7 Mei 2008
Masa : 7.30 pagi hingga 4.30 petang
Tempat : Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur.
Semasa program ini berlangsung, terdapat banyak aktiviti-aktiviti yang disediakan oleh pihak penganjur untuk para peserta. Antaranya ialah sesi taklimat dan soal jawab yang bertujuan untuk memberi penerangan lengkap berkaitan tatacara dan prosedur yang harus dipatuhi ketika berada di Dewan Negara. Peserta juga diberi peluang untuk bersoal jawab dengan wakil pegawai di Parlimen tersebut. Selain itu, peserta juga berpeluang bergambar di sekitar Parlimen selepas sesi taklimat yang dijalankan di Dewan Negara.
Program ini iaitu ‘Sehari Di Sidang Parlimen’ kali ini telah mendapat kelulusan kertas kerja dan bantuan kewangan daripada Pusat Perkembangan Pelajar. Program ini dapat dilaksanakan dengan jayanya dan mencapai objektif yang diharapkan. Sokongan dan kerjasama daripada pelbagai pihak telah membuahkan hasil yang cemerlang. Segala bantuan dan sokongan amat dihargai dan diucapkan jutaan terima kasih.
Saturday, April 26, 2008
LAPORAN PROGRAM PENYAYANG FAUNA ANJURAN KELAB PENYAYANG UKM
Tarikh: 13 April 2008
Masa: 8:30 pagi hingga 5:00 petang
Tempat: Zoo Negara, Hulu Kelang, Selangor
Pelbagai aktiviti sukarelawan di bawah pemantauan kakaitangan dan penjaga zoo Zoo Negara telah dilakukan di sana. Para peserta terlah dibahagikan kepada tiga kumpulan dan setiap kumpulan telah diletakkan di bawah penjagaan seorang kakitangan Zoo Negara. Peserta telah dibawa ke tempat penempatan haiwan yang telah ditetapkan oleh pihak Zoo Negara antaranya ialah kandang tapir, rumah reptilia, kandang harimau dan singa, kawasan savannah dan lain-lain. Tiada sebarang masalah serius berlaku sepanjang program berlangsung. Bahkan semua peserta bersemangat dan teruja menjalankan kerja yang diberikan. Antara kerja yang telah dibuat oleh peserta ialah membersihkan kandang dan tempat mandian haiwan, memberi makan kepada haiwan, penyediaan makanan haiwan, membantu di klinik haiwan dan sebagainya. Lawatan diakhiri dengan jamuan minum petang bersama kakitangan zoo yang terlibat memantau peserta program. Sebelum bertolak meninggalkan meninggalkan Zoo Negara, semua peserta sempat bersalam dengan kakitangan Zoo Negara yang ada di sana dan berasa terharu dengan layanan mesra semua kakitangan di Zoo Negara.
Tuesday, April 15, 2008
Cadangan Aktiviti Tahunan bagi tahun 2008/2009
- Program Baktisiswa di Terengganu (10-12 mei 2008)
- Program penyayang bersama Parlimen (7 mei 2008)
- Program Motivasi Anak-Anak Yatim (8-10 ogos 2008)
- Majlis Berbuka Puasa Bersama Anak-anak Yatim
- Makan Malam Amal
- Kem Induksi Pengurusan Organisasi
- Seminar Pengurusan Organisasi Kebajikan
- Lawatan ke Rumah Anak-anak Yatim (Rumah Angkat)
- Tuisyen berkala di rumah Anak-Anak Yatim setiap 2 minggu sekali
- Lawatan ke rumah orang-orang tua (6 april 2008)
- Karnival sukan anak yatim (26 julai 2008)
- Majlis Hari Raya Bersama Anak-anak Yatim
- Karnival Penyayang
- Konsert Amal
Pengenalan Kelab Penyayang UKM
Kelab Penyayang merupakan sebuah kelab yang berasaskan konsep yang baru dimana kelab ini dilihat sebagai sebuah kelab amal yang menjalankan aktiviti-aktivitinya dengan konsisten dan berdisiplin. Kelab Penyayang merupakan sebuah inisiatif Yayasan Budi Penyayang Malaysia di peringkat institusi pengajian tinggi untuk memberi siswa-siswi kita peluang untuk mengasah bakat mereka dalam berkhidmat kepada masyarakat yang memerlukan bantuan. Kelab Penyayang dibentuk supaya dapat menjadi teladan kepada persatuan lain di peringkat kampus yang ingin membudayakan semangat kesukarelawan. Maka bermulanya dari sini tertubuhnya Kelab Penyayang Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada tahun 2004. Bermula penubuhanya pelbagai program telah dijalankan yang berkonsepkan kebajikan seperti program lawatan ke rumah anak yatim di sekitar selangor, Program Kem motivasi jalinan penyayang dibuat khas untuk pelajar anak yatim, program berbuka puasa mahasiswa bersama anak yatim sekitar selangor dan pelbagai lagi yang telah berjaya dijalankan. Usaha murni ini telah dilaksanakan oleh mahasiswa ukm secara khususnya dari kelab Penyayang UKM. Semoga usaha murni ini berterusan dan disokong oleh pelbagai pihak. Disini juga Badan Ahli Jawatan Kuasa Tertinggi Kelab Penyayang UKM mengucapkan setinggi-tinggi perhargaan kepada para ahli NGO atau badan kerajaan yang sudi memberi sumbangan kepada setiap program yang dijalankan. Semoga Tuhan membalas terhadap sumbangan yang telah diberikan. Kepada badan NGO mahupun badan kerajaan yang sudi menghulurkan bantuan dan sokongon boleh menghubungi
Kelab Penyayang
Paras 3, Bangunan Pusanika
Universiti Kebangsaan Malaysia
43600 Bangi,Selangor Darul Ehsan
Tel : 013-3539245 ( Hisyamuddin Bin Che Ali )
atau emeilkan kepada; penyayang_ukm@yahoo.com